Salam bahagia.
Tahun ni genap 21 tahun aku berkahwin.
Dari kosong kami memulakan hidup. ketika melangsungkan perkahwinan, aku masih belajar di UM, kurang lebih 6 bulan lagi untuk menamatkan pengajian.
Berdikit2 membina kehidupan. Daripada tak ada apa2.
Aku ingat pesanan ibu yang ku panggil ma katanya
"Ma hadiahkan sebuah batu lesung sahaja. Jika ingin menjadi isteri yang baik, gunakanlah batu lesung ini. Sehebat mana pun kita, suami tetap nombor satu. Ia menjadi teman hingga ke akhir hayat, macam batu lesung ini, ia tidak boleh berfungsi andainya hanya batu saja yang ada tanpa lesungnya."
Begitu dalam maknanya. Begitu halus pesanannya. Begitu tinggi harapannya.
Dan hingga sekarang batu lesung itu masih ada. Masih aku gunakan. Setiap kali aku ke dapur, pesanan ma tetap aku ingat.
Sebelum berkahwin, kebanyakan pasangan memfokuskan kepada aspek kecantikan, harta kelulusan, gaji dan pangkat yang menjadi ukuran dan perbandingan.
Tetapi selepas bersama sedemikian lama, keluhuran juga yang menjadi nadi dan tunjang kebahagiaan hidup.
Aku mengkagumi suami bukan kerana gaya tetapi kerana keluhuran budi.
Rupa2nya, lelaki juga mengkagumi isteri mereka kerana bukan kerana gaya yang tergedik2, solekan rupa yang berwarna warni, baju yang mahal serta hiasan diri yang berkilat2 tetapi kekal setia kerana kesantunan pekerti dan kemuliaan diri sebagai seorang isteri sejati.
Alangkah beruntungnya wanita2 yang dimuliakan suami kerana kemuliaan pekertinya.
Alangkah bahagianya isteri yang mendapat limpahan perlindungan, kasih sayang dan
bahagia daripada suaminya.
Alangkah indahnya hidup berkeluarga yang disirami iman dan taqwa sebagai
hiasan dalam mengemudi bahtera rumahtangga.
Alangkah bertuahnya anak2 yang mempunyai ibu dan ayah yang beriman
sebagai pengemudi keluarga sejahtera.
Alangkah hebatnya memiliki "Rumahku Syurgaku".
Siapakah yang akan mencorakkannya?
Tak lain tak bukan, kitalah yang akan mewarnai rumahtangga yang kita bina.
Kitalah pelukis yang akan mencorak dan mewarnakan kertas kanvas yang putih itu.
Kitalah segala2nya.
Inilah yang aku ingin kongsikan di ruangan Blog Seribu Bintang Faridah.
Meskipun kesibukan tugas membina nama dan kerjaya, ke hulu ke hilir membina empayar kejayaan bersama Akademi Taipan 181 tetapi
aku sentiasa sedar akan tugas dan tanggungjawab yang hakiki bahawa
"AKU IALAH SEORANG ISTERI DAN IBU".
Ruangan Jendela Hati Faridah sekadar mahu berkongsi pelbagai rasa luahan bicara
setulus hati seikhlas budi dalam lentera kehidupan berkeluarga dan berumahtangga.
Walau banyak atau pun sedikit, apa saja mahu aku titipkan buat pedoman pembaca budiman.
bukan mahu mendabik dada meninggi rasa hanya aku yang menikmati bahagia yang didamba.
Tetapi "Sampaikanlah daripadamu walaupun satu ayat" menjadi pegangan bahawa setiap yang baik itu harus dikongsi untuk dimanfaatkan bersama.
Marilah kita bina rumahtangga yang sejahtera.
Marilah kita berazam untuk menjadi isteri pendamping yang terbaik untuk suami kita.
Marilah kita tanamkan tekad untuk menjadi ibu mithali buat anak2 yang telah dipinjamkan kepada kita bahawasanya mereka adalah khalifah yang diamanahkan oleh Allah untuk kita mencorak dan mendidiknya dengan sempurna.
Marilah kita bernekad untuk menjadi insan yang mampu
memberi manfaat dan kebaikan kepada kehidupan masyrakat kita.
Salam dari Seribu Bintang Faridah.
|
No comments:
Post a Comment